Taman Negara 1: Suatu Persepsi

11954619_10205081573535350_5947545456651717262_n

Apabila mendapat Jemputan untuk ke Taman Negara yang di taja oleh Mutiara Taman Negara, saya cukup yakin bahawa ini bukan tugasan cabaran buat saya, malah telah mencadangkan agar rakan Penulis  iaitu Dr Marzieh Falah seorang pakar Eko Pelancongan untuk menghadirkan diri. Bukan kerana saya tidak cukup ‘Adventure’ tetapi kerana  banyak tugasan yang perlu di selesaikan.  Namun begitu, apabila Puan Aishah dari Mutiara sendiri menghubungi  dan memujuk untuk datang, saya terpaksa mengalah. Melihat kepada jadual program yang di email, saya hanya menyukai program sarapan, makan tengahari dan BBQ pada waktu malam. Kemudiannya saya bertanya untuk kepastian , antaranya ialah berapa jauh terpaksa berjalan untuk jungle trekking? Adakah Aktiviti Night Walk akan menemukan kita dengan binatang buas dan kita terpaksa berlari untuk menyelamatkan diri? Bot yang di gunakan adakah Selamat dari libasan buaya?  Setelah berpuashati dengan semua jawapan dan janji manis…OK LULUS..I am Ready, Willing and Able.

(Nota: Saya lupa nak tanya ketinggian jambatan gantung)

Bas Sudah Menanti, Taman Negara Sedang Menunggu

Tepat pukul 9 pagi kami sudah menunggu di perkarangan Hotel Istana. Untuk memastikan benar benar bersedia , saya telah bersarapan 2 kali sejak pukul 7 pagi lagi dan ke bilik air sebanyak 3 kali. Dr Marzieh tidak dapat hadir pada saat akhir kerana terpaksa pulang ke Iran. Maka saya jemput Murtadha  sebagai ganti. Mungkin Arkitek Muda ini dapat memberi sedikit inspirasi tentang Pelancongan Eko ini dari perspektif beliau.

Semasa berkumpul , saya berasa kurang seronok apabila melihat peserta -peserta yang hadir kelihatan seperti pendaki-pendaki Gunung Profesional. Beserta kelengkapan umpama seorang trekker, mereka telah benar benar melemahkan semangat saya.  Mereka duduk sekelompok mungkin berbincang tentang pendakian dan penaklukan mereka yang lepas….(Saya rasa macam nak balik rumah)

Saya memberanikan diri dan menegur salah seorang dari mereka Maswa dari Mingguan Wanita. Saya tanya, ‘Apa Gunung terakhir yang u all tawan ?’ Dia menjawab dengan selamba dan saya masih ingat kata -katanya ‘jangan terpedaya dengan bentuk fizikal kami Bang, kami duduk di ofis je’  Jawapan itu benar benar melegakan aku sebab Bukit yang paling tinggi aku pernah naik ialah Bukit Bintang. Itu pun guna eskalator. Nampaknya aku takkan pancit sorang lah….

Dalam Bas persiaran khas milik Mutiara Negara memang selesa memuatkan kami 30 orang. Dalam bas saya berkenalan dengan remaja yang kaki adventure, Nisa namanya. Kebetulan dia juga pernah ke Taman Negara melalui laluan Merapoh dan Sg Relau. Maka 2 jam kami di habiskan berkongsi cerita mengenai Caving Adventure.Perjalanan mengambil masa hampir 4 jam untuk ke Taman Negara, melalui Jerantut. Setibanya di sana , kami dapat melihat kesan akibat dari Banjir Besar yang telah melanda seluruh negeri Pahang.Banyak restoran terapung dan penempatan yang telah hanyut. Namun begitu MUTIARA Taman Negara tetap tersergam menanti kami selepas menyeberangi sungai dan menaiki 33 anak  tangga.

(Next: Tapir dan Babi Hutan singgah di Chalet kami)

Maswa, Aishah, Mike Tan dan Faisol ready nak menyeberang.
Maswa, Aishah, Mike Tan dan Faisol ready nak menyeberang.